Tuesday, March 15, 2011

Ghafar Baba tokoh politik setia, rela berkorban

Ghafar Baba tokoh politik setia, rela berkorban

SUDAH hampir lima tahun Tun Ghaffar Baba meninggal dunia. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Naib Presiden UMNO yang paling lama ini bukanlah tokoh politik yang populis atau opportunist.
Tetapi beliau adalah satu-satunya politikus sederhana humble dan ala kekampungan pernah dilahirkan oleh UMNO sebelum dan selepas merdeka. Sebab itulah portfolio yang dipegangnya hanyalah Kementerian Pembangunan Luar Bandar semasa berada dalam Kabinet.
Semua langkah dan tindakannya dalam politik tidak pernah menggambarkan yang beliau adalah seorang yang mementingkan diri atau jawatan.
Sama ada beliau berada dalam Kabinet kerajaan atau di luar Kabinet, kesetiaan kepada parti UMNO dan Barisan Nasional khasnya tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.
Semasa MCA dalam tahun 80-an berpecah menjadi dua kumpulan, beliau menjadi orang tengah mendamaikan kedua belah pihak.
Semasa Tun Dr. Mahathir menghadapi krisis dengan Timbalannya, Tun Musa Hitam, beliau tampil membantu Dr. Mahathir memperkuatkan UMNO yang pada masa itu terbahagi kepada team A dan B. Sehinggalah beliau menjadi Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, UMNO kembali pulih dan kuat.
Tetapi akhirnya atas tuntutan amalan demokrasi dalam UMNO pada masa itu, beliau terpaksa akur dan menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua parti dan memberi laluan kepada pencabarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Ghaffar berundur daripada jawatan parti dengan secara humble, sifat semula jadinya, tanpa riuh rendah atau protes. Tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun pada masa itu hati beliau terguris.
Namun, beliau telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang ahli politik yang sederhana, rasional dan tidak emosional dengan terus aktif menjadi ahli parti yang setia dan sentiasa bersedia memberi sumbangan tenaga dan buah fikiran apabila diperlukan.
Ini terbukti sekali lagi apabila UMNO menghadapi masalah besar iaitu kes pemecatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO. Seperti biasa beliau tampil ke depan membantu parti yang beliau tidak pernah belot atau derhaka dalam apa-apa pun situasi. Kesetiaan pada parti adalah keutamaannya.
Itulah Tun Abdul Ghaffar Baba. Seorang nasionalis Melayu tulen dan tentunya bukan seorang opportunist.

TAUFIQ MUBARAK
Rantau Panjang, Kelantan.


p/s: Saya ambil petikan ini dari Halaman Forum Utusan Malaysia 14.3.2011(ISNIN)
Arwah Pak Ghafar adalah pemimpin Umno yang patut kita contohi. Alfatihah untuk Arwah Pak Ghafar
Apakah pemimpin Umno dapat mencontohi semangat Arwah Pak Ghafar???

No comments: